Thursday, October 6, 2011

Jom ke Ijtima’ Tarbawi 2011:Mencetak Kader Dakwah, Menyimpul Ukhuwwah


Mencetak Kader Dakwah, Menyimpul Ukhuwwah
Gerakan Islam ini semakin membesar dan menerima kehadiran penyokong yang pelbagai latarbelakang , konsistensinya di medan dakwah,tarbiah dan dakwah telah teruji dalam tempoh yang panjang di negara ini . Usai program mega , sambutan 60 tahun PAS di Pulau Pinang , jangan lupa pula program besar tahunan Dewan Pemuda Malaysia, 28 sehingga 30 Oktober ini, yang akan berlangsung program terbesar Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Ijtimak tarbawi 2011. Program ini merupakan kesinambungan program besar Dewan Pemuda PAS iaitu Ijtimak ‘Alami yang pernah diadakan pada tahun 1989 dan 1994 di tempat yang sama iaitu Masjid Rusila Terengganu.
Dewan Pemuda PAS semenjak dekad 60an telah ratusan kali mengadakan ijtimak tarbawi dalam kerangka mencetak kader-kader dakwah. Semasa dipimpin oleh Ustaz Hasan Shukri ,seorang anak tarbiah Ikhwanul Muslimin program ini dinamakan SPEM.DPPP bergerak ke setiap negeri untuk mempersiapkan fikrah pemuda terutama tonggak lima rukun yang digagaskan oleh gerakan Islam fenomenal itu.pemuda PAS yang diasak dengan program tarbiah telah Berjaya menghadapi serangan tak beradab pemuda tahan lasak UMNO yang dikenali sebagai pemuda tahan lasak.
Dalam dekad kebangkitan Islam pula , selepas peralihan kepimpinan ulama ,pelbagai ijtimak tarbawi diadakan dengan menggunakan pelbagai jenis tema seperti ijtimak mustad’afin, ijtimak penerangan dan sebagainya,namun yang paling berskala besar ialah ijtimak alami yang menghimpunkan tokoh-tokoh besar gerakan Islam antarabangsa, termasuk daripada gerakan Jamiat Islami,Ikhwanul Muslimin dan juga gerakan Islam yang lainnya.
Program himpunan tarbiah ini akan menghimpunkan tokoh-tokoh tarbiah PAS seperti Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Dewan Ulama, Murabbi tarbiah , termasuk tokoh undangan daripada gerakan fenomenal dunia iaitu Ikhwanul Muslimin.
Dewan Pemuda PAS Pusat sangat berbesar hati mengundang seluruh amilin, pendokong-pendokong harakatul ummah ini untuk membanjiri bumi serambi Mekah yang telah lebih dua dekad diterajui oleh kepimpinan ulama.Ahli-ahli PAS seluruh negara dijemput hadir, tidak terhad kepada jaringan pemuda tetapi program ini mengundang juga muslimat, Nisa, warga kampus, veteran parti, pelajar-pelajar sekolah dan seluruh penyokong dan pendokong perjuangan Islam. Saya bagi pihak jawatankuasa Panitia program Ijtimak dan Dewan Pemuda PAS Malaysia, ingin menyeru kepada ahli-ahli PAS untuk hadir beramai-ramai beserta dengan kaum keluarga, bekalkan dengan tikar, bantal, bekalan musafir yang secukupnya.
Taman Melewar dan kawasan sekitarnya akan menjadi ‘hotel’ yang akan menampung ribuan peserta ijtimak melepaskan lelah bersimpuh di KUIZM dan kawasan disekitarnya .. Gerai-gerai jualan yang pelbagai akan menyempurnakan himpunan ini, termasuk gerai pameran yang akan diuruskan oleh pelbagai unit dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Ijtimak Tarbawi 2011 Dewan pemuda PAS akan berlangsung dengan euphoria santai namun sarat dengan mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh pembentang kertas kerja, pengkuliah, juga panelis forum yang terdiri daripada kalangan pimpinan PAS Pusat dan tokoh jemputan daripada Ikhwanul Muslimin. Dengan jangkaan sepuluh ribu peserta yang hadir memenuhi dalam dan luar kompleks KUIZM, program ini dijangka memberikan kesan yang mendalam untuk memerkasakan kembali program tajnid , mencetak kader-kader dakwah dan merimbunkan kembali program amal tarbawi di dalam gerakan Islam tertua dan terbesar di negara ini.
PAS walaupun disibukkan dengan medan siasah namun tidak melupakan kewajipan asasinya untuk membenihkan kefahaman terhadap ahli-ahlinya yang kini menjangkau sejuta orang.
Selamat datang kepada seluruh ahli dan pastikan tarikh penting ini tidak bertembung dengan mana-mana program parti.jika BERSIH dapat menghimpunkan seratus ribu rakyat prihatin, mengapa tidak Ijtimak yang penting ini kita himpunkan seramai mungkin ahli-ahli jemaah.Rahsia kekuatan PAS dapat bertahan dalam tempoh enam dekad ini ialah kerana kejayaan mentarbiah ahlinya, berdada dengan kezaliman pemerintah.Tanpa tarbiah, maka PAS telah lama berkubur di Negara ini seperti puluhan gerakan lain yang hanya berada dirakaman sejarah negara.
NOSTALGIA PROGRAM IJTIMAK TARBAWI 2010
Saya teringat Ijtimak kita pada tahun lepas di Masjid Rusila, Ijtimak Tarbawi 2010 bukan sekadar medan untuk berhimpun dan berukhuwwah ,namun ada sesuatu yang membekas dalam palong hati saya, iaitu Ijtimak Tarbawi 2010 Pemuda menerima kehadiran tokoh murabbi PAS yang sangat tidak asing dengan program pembinaan kader pemuda PAS, iaitu al fadhil Ustaz Yahya Othman.
Siapa tidak kenal dengan sesepuh besi khursani tarbiah ini yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan diasuh oleh Ikhwanul Muslimin. Kertas kerja tarbiah ustaz Yahya Othman sering kita lumati dalam program tarbiah, bahkan dada kita turut terisi dengan penyampaian beliau yang tegas. Beliau adalah anak didik kepada Sheikh Kamal Saniri, tokoh Ikhwan yang telah mengalami pemenjaraan dan akhirnya mati syahid akibat disiksa oleh regim Mesir.
Sang Murabbi ini mengabadikan hidupnya untuk mencetak kader dakwah semenjak tahun 70an lagi. Di saat kebangkitan Islam menyelimuti dunia Islam, bahkan negara ini juga tidak terkecuali, Ustaz yahya Othman bergerak ke seluruh negara untuk membudayakan tarbiah kepada pemuda dan belia Islam. Dasawarsa 70an dan 80an adalah zaman subur merendang dengan usrah, tamrin, daurah , jaulah dan sebagainya, semua program ini begitu sinonim dengan beliau.Bahkan, PAS berjaya merubah kepimpinan pada tahun 1982 (transformasi kepimpinan) adalah kerana suburnya gerakan tarbiah dan pembinaan.
Kepimpinan ulama yang menjadi teras kepimpinan PAS berjaya direalisasikan akibat hidupnya gerakan tarbiah yang berterusan, juga akibat generasi peserta kebangkitan Islam yang begitu ghairah untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam yang bergerak diatas kefahaman ahli bukan semangat yang meledak-ledak kosong.
Kita semua para amilin jemaah akan sentiasa mempunyai ingatan kolektif terhadap jasa dan pengorbanan beliau, bahkan merasa kerinduan yang menggebu dengan sentuhan ‘air tangan’ beliau. Saya semasa menjadi Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPWP dan Timbalan Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPP, Ustaz Yahya adalah pimpinan yang sentiasa diundang untuk menjadi pengisi program tarbiah pemuda.
Beliau sangat serius dalam persoalan menepati masa, bicaranya tenang namun tegas. Bersimpuh dihadapan beliau semasa program seolah didera dalam penjara Guantamao atau berada dalam sel regim Arab, bimbang diterpa soalan ‘cepu mas’ ustaz Yahya.wajahnya sebening air yang membersit cahaya tetapi ketegasannya menggerunkan.
“ayat apa tadi akhi?, surah apa?” Tanya sang murabbi dengan cerlungan mata pada peserta program tajnid.Tak berkutik,semua tunduk seolah tak mendengar soalan ustaz.Dia tak mengalah,terus mengasak peserta.
“Ayat apa yang akhir ana cakap tadi…?” Tanya beliau dengan tegas, peserta akan menunduk dan menikus seperti tikus disimbah dengan secawan kopi ‘Janda’.
“Mengapa enta tak menulis semasa ana berkuliah?” Tanya sang Murabbi dengan tatapan tajam disebalik bingkai kaca mata kepada peserta tamrin, sebahagiannya menikus seperti tikus mondok tersimbah air longkang. Saya juga, walaupun panitia program kecut perut seperti baru melintasi bilik mayat selepas jam tiga pagi atau melintasi jirat Cina yang baru menyimpan mayat gadis terjun bangunan. Semua diam, tenang dalam ketakutan yang cukup payah diungkap dengan lukisan kata-kata.Hormat dan gerun , sekaligus merasa bersalah kerana tidak serius mencatat.
“Mengapa tak menulis dalam jawi?” Tanya Ustaz lagi pada seorang peserta yang duduk di barisan hadapan, teman ini pucat, bibirnya kelat menelan airliur. Lulusan kampus tempatan ini adalah produk dasar pendidikan negara yang tidak bersahabat dengan tulisan jawi.
“Ana sayangkan antum semua ini, antum semua anak ana, antum semua masa depan perjuangan Islam” kata sang murabbi dengan lirih, mata beliau berkaca dengan patah kata yang tersekat. Di akhir program kami saling memeluk beliau, berpamitan dengan penuh ukhuwwah, ustaz sentiasa bermalam dengan peserta tamrin Pemuda, mengunyah apa sahaja yang dihidangkan bersama peserta tamrin tanpa omelan . Keakraban beliau dengan peserta bukanlah dibuat-buat, keintiman ini berakar daripada kecintaan beliau untuk membina dan mencetak jurudakwah muda.
Buatlah tamrin jauh meranduk kawasan perbukitan , meredah kawasan yang paling rahsia untuk mengelak pengintipan musuh atau ke pulau terbiar, ustaz Yahya tidak pernah gagal untuk hadir. Biasanya pula sang murabbi akan sampai lebih awal daripada peserta tamrin.Sesibuk manapun beliau semasa menjadi Exco Kerajaan Kelantan namun program tarbiah adalah keutamaan.
“Mula pukul berapa akhi program ni” Tanya Ustaz Yahya pada saya dalam satu program pembinaan. Sebenarnya jauh di sudut hati ustaz tidak memerlukan jawapan, soalan itu adalah inzar kepada panitia yang gagal untuk mendisiplinkan peserta.Apa pun teguran yang diberi , saya dan kawan-kawan tidak pernah berkecil hati, malah hari ini ianya menjadi sebuah kerinduan yang sangat mendera perasaan,terakam indah dalam lipatan ingatan kita semua.
Dalam program ijtimak Tarbawi yang lepas, ramai generasi muda yang baru berjinak dengan PAS tidak mengenali sosok ini namun akhirnya terpegun dengan pengisiannya yang sangat mengesankan.kata-katanya seperti kilauan mutiara, juga seperti air yang jernih yang turun daripada bukit seterusnya menakung dalam kolam yang teguh.Daya ingatannya memukau dan menyakinkan sekali, menyihir anak-anak muda yang tekun mendengar.
“Jangan lupakan program tarbiah, jangan lupa baca Al Quran walau sesibuk mana pun kamu”ujarnya tegas, matanya berkaca menatap peserta.Dia seperti disihir untuk tidak meninggalkan majlis yang baginya menghimpunkan anak-anak didiknya dari seluruh negara. Usai beliau memberi pengisian, tubuhnya yang uzur masih melekat di kerusi khas di belakang pentas.Matanya memerhati dengan penuh teruja kearah anak muda yang jumlahnya ribuan orang dan dia dengan tekun menangkap butiran yang disampaikan oleh penceramah-penceramah lain.
“Nama apa ustazah yang bercakap tu?” Tanya ustaz Yahya perlahan,cuba mengingat sesuatu. “Ohh, Dr Asiah Ali…Pengerusi tarbiah Muslimat”jawab saya.Ustaz tekun menangkap butiran yang keluar daripada mulut penceramah.Ustaz Asri Daud, sekali sekala melayan pertanyaan ustaz Yahya, yang tergambar sangat bahagia pada hari itu.
Sukarnya untuk melupakan jasa Ustaz Yahya kepada peserta kebangkitan Islam , juga kepada kita semua didalam organisasi Dewan Pemuda. Setiap kali bertemu, hati kecil akan berdoa “ Ya Allah, berilah kekuatan dan kesihatan kepada murabbi kami, kami masih merindui sentuhan beliau”. Maka , teman-teman sekalian , jangan lupakan Ijtimak Tarbawi 2011 yang akan diadakan pada 28-30 Oktober ini.
Kita bertemu mata dengan penuh rasa ukhuwwah dan keghairahan untuk membedah perjalanan jamaah dan amal tarbawi, saat kita meriah dengan agenda menuntut ruang demokrasi yang bersih dan adil.Ajak dan iklankan program ini semaksima mungkin melalui media baru,juga mulut ke mulut seterusnya merancang untuk tiba tersenyum di KUIZM Taman Melewar pada tarikh tersebut.
Jangan kau Tanya,”nak mandi dimana, buang air dimana,muat tak Dewan Fadhil Noor”, kita adalah pemuda Islam yang akan menggalas beban perjuangan, bukan anak-anak kecil yang disuap makan oleh ibunya. Islam tak akan menang ditangan sang pengecut dan pemuda yang manja, tiga hari bukanlah tiga bulan di tengah Sahara atau di hamparan ais di kutub Utara.
Ustaz Yahya yang semakin uzur pun akan hadir memberikan pengisian untuk kita semua.Juga Mursyidul Am dan juga Presiden akan membelai akal kita dengan pengisian , maka jom anak muda..jangan tak datang.Kami menunggumu dengan tangan yang didepang luas dan senyum penuh bahagia !
(Riduan Mohamad Nor adalah Ketua Penerangan dan dakwah DPPP,seorang penulis dan juga Timbalan Pengarah Ijtima’ Tarbawi kebangsaan 2011)



Tuesday, July 12, 2011

Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS

Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?"  Saya menuding jari ke depan.  Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan.  Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu.  Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu?  Berarak adalah hak kita.  Mengapa pula saya takut?  Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda.  Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan.  Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap.  Saya tahu beliau cuba menakutkan saya.  Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka.  Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka.  Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu.  Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang.  Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang.  Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib!  Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi.  Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan.  Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami.  Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA?  Pemuda UMNO?  Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!"  Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama.  Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!"  Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan.  Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda.  Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka.  Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi.  Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.

Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak.  Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.

Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas sususannya berarak dari arah Hospital Tung Shin.  Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya.  Tidak berhenti kami bertepuk tangan.  Kami menjerit sepuas-puasnya.  Saya nampak ramai yang menakung air di matanya.  Saya amat terharu.  Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang.  Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!

Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!

Kami berkumpul di depan Menara MayBank.  Saya tak dengar apa yang diucap pemidato.  Tapi saya hanya seorang penyokong.  Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.

Kemudian saya mendapati trak FRU.  Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu.  Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru.  Saya rasa macam tersengit.  Baunya sangat tidak menyenangkan.  Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya.  Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya.  Ada pula yang memberi garam kepada saya.

Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.

Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank.  Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi.  Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua.  Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, "Bukan manusia!"

Saya berehat seketika.  Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan.  Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana.  Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun.  Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam ini!"  Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan....
Matlamat sama..
Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami.  Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama.  Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"

Nota:  Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS.  Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat.  Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.

Terima kasih, sahabat semua.  Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama.  Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.

Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak.

*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011. MerdekaReview akan memilih beberapa lagi tulisan untuk diterjemahkan, dan mengalu-alukan tulisan daripada pembaca. Sila email kepada editorial_bm@merdekareview.com. Terima kasih.

Thursday, March 17, 2011

MENGKAJI STRATEGI DAKWAH RASULULLAH



Titik Awal Dakwah Nabi saw
 
Titik Awal Dakwah Nabi saw. Ketika Nabi saw. diutus, mula-mula baginda mengajak isterinya, Khadijah binti Khuwaid untuk memeluk Islam, maka Khadijah pun beriman. Baginda lalu mengajak saudara sepupunya, iaitu Ali bin Abi Thalib, dan Ali pun beriman. Kemudian baginda mengajak hambanya, Zaed, dan Zaed pun akhirnya beriman. Baginda juga mengajak temannya, Abu Bakar, maka Abu Bakar pun beriman. Setelah itu, baginda mengajak pada semua orang, sehingga berimanlah orang yang beriman, dan kufurlah orang yang kafir. 

Setelah Abu Bakar ra. memeluk Islam, Abu Bakar sengaja mengisytiharkan keislamannya pada orang yang boleh dipercayai serta mengajak mereka agar beriman kepada Allah dan RasulNya. Abu Bakar adalah orang yang berpengaruh bagi kaumnya, menyenangkan dan ringan tangan. Oleh itu, ahli-ahli kaumnya datang kepadanya dan mereka menyerahkan kepadanya bukan hanya untuk satu urusan, disebabkan oleh kerana ilmu, niaga dan akhlak baiknya. Utsman bin Affan adalah orang yang memeluk Islam kerana ajakan beliau. Demikian pula dengan Zubair bin Al-Awwam, Abdurrahman bin Auf, Saad bin Abi Waqash dan Thalhah bin Ubaidillah. 

Mereka dibawa menghadap Rasulullah saw. ketika mereka telah bersedia memenuhi ajakan beliau. Mereka lalu memeluk Islam dan solat. Setelah itu, Abu Ubaidah, yang nama asalnya adalah Amir bin Al-Jarrah, Abu Salamah, yang nama asalnya adalah Abdullah bin Abdi Al-Asad, Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, Utsman bin Al-Mathghun dan sebagainya memeluk Islam. Kemudian orang ramai memeluk Islam, baik dari kalangan lelaki mahupun wanita, sehinggalah Islam mulai diperkatakan di Mekah dan ramai orang membicarakannya. Mula-mula Nabi saw. mendatangi rumah-rumah mereka. Baginda menyampaikan kepada mereka, bahawa: "Allah memerintahkan kalian agar kalian menyembah Al- lah dan tidak menyekutukanNya dengan yang lain."

Beliau mengajak orang ramai di Mekah secara terbuka agar mereka memeluk Islam, kerana memenuhi perintah Allah: "Wahai orang yang berselimut, bangkit dan berilah peringatan" (Al-Mudatsir: 1-2)
Baginda juga terus melakukan interaksi dengan orang ramai untuk menyampaikan agama Islam, serta mengajak mereka bergabung bersama baginda dengan asas agama tersebut secara rahasia. Sahabat Rasulullah saw. apabila melakukan solat, mereka pergi ke lembah-lembah dan menyembunyikan solat mereka agar tidak diketahui oleh kaumnya. Rasul juga selalunya mengirim orang yang lebih dahulu memeluk Islam, dan telah mendalam pemahaman agamanya untuk mengajari Al Quran pada sesiapa sahaja yang baru memeluk Islam. Baginda pernah mengutus Khubab bin Al-Art agar mengajarkan Al-Quran kepada Zainab binti Al-Khattab dengan suaminya, Said. Di mana, melalui halaqah inilah, Umar akhirnya memeluk Islam. Ketika mereka dikejutkan oleh kedatangan Umar, mereka sedang berada di rumah Said, yang sedang mempelajari Al-Qur’an.

Bukan setakat itu sahaja, baginda bahkan telah mempergunakan sebuah rumah untuk mendidik kaum muslimin dengan Islam, serta menjadikannya sebagai pusat kelompok orang-orang mukmin tersebut, sekaligus menjadikannya sebagai sekolah dakwah baru. Rumah itu adalah rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Di situlah kaum musliniin dikumpulkan untuk dibacakan Al-Quran dan dijelaskan maknanya, serta memerintahkan mereka agar mengisytiharkan Islam. Ketika seseorang memeluk Islam, baginda akan memasukkannya ke rumah Al-Arqam. 

Baginda menahan diri selama tiga tahun, sementara itu baginda terus membina orang-orang Islam tersebut. Baginda solat dan bertahajud dengan mereka di malam harinya, sehingga lahirlah pada diri mereka kekuatan spritual melalui solat dan membaca Al-Quran. Baginda banyak membangkitkan pemikiran mereka dengan merenungkan ayat-ayat Allah, menganalisa penciptaannya. Baginda juga mendidik intelektual mereka dengan makna dan lafadz Al-Quran, serta pemahaman dan pemikiran Islam. Baginda melatih mereka agar bersabar dalam menerima penganiayaan, taat dan tunduk sehingga tumbuh keikhlasan semata untuk Allah. Nabi dengan kaum muslimin tetap tidak mengisytiharkan ajarannya, ketika masih di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, hingga turun firman Allah:
"Maka, isytiharkan apa yang diperintahkan kepada kamu, serta tentanglah orang-orang musyrik."(Al-Hijr: 94)
Diambil dari : U JAM

Wednesday, December 15, 2010

Hari Asyura / 10 Muharram

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (Sahih Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (Sahih Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pemgumuman ini sampai malam". (Sahih Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, " Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (Sahih Muslim)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (Sahih Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram.

Di bawah ini di nyatakan beberapa hukum yang disebutkan oleh para Fuqaha’ berkaitan ‘Asyura‘.

1. Bilakah ‘Asyura‘?
Pendapat pertama : Ibn Abbas Radhiyallahu ‘Anhuma berpendapat ‘Asyura‘ adalah pada 9 Muharram.
Pendapat kedua : Jumhur Fuqaha‘ berpendapat ‘Asyura‘ adalah pada 10 Muharram.


2. Bila Sunnah Puasa?
Sunnah berpuasa seluruh bulan Muharram. Ini kerana ia termasuk salah satu daripada bulan-bulan haram.
Sunnah muakkadah (yang sangat dituntut) berpuasa pada 10 Muharram (hari ‘Asyura‘).
Sunnah juga berpuasa pada 9 Muharram.
Sunnah juga berpuasa pada 11 Muharram.
Sunnah juga berpuasa 1-10 Muharram menurut sebahagian Fuqaha’.
3. Kelebihan berpuasa pada 10 Muharram?
Diampunkan dosa setahun yang lalu (hadis sahih riwayat Imam Muslim).
Pada hari tersebut Nabi Musa diselamatkan daripada Fir’aun. Maka puasa tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran*. Ummat Islam lebih berhak berpuasa daripada Yahudi (yang juga berpuasa pada ‘Asyura‘) kerana aqidah yang sama dengan Nabi Musa.
* ia juga dalil bahawa Islam membenarkan sambutan diadakan untuk mensyukuri sesuatu perkara setiap tahun. Oleh kerana itu juga, maka sambutan maulid dibenarkan di dalam Islam sebagai tanda kesyukuran.


4. Mengapa pula puasa pada 9 Muharram?
Hadis Nabi yang bermaksud: Jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan. Namun baginda telah wafat pada tahun berikutnya.
Membezakan dengan amalan orang Yahudi.
Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari ‘Asyura‘.
Termasuk bulan-bulan haram.
Termasuk 10 hari pertama Muharram yang disunnahkan berpuasa oleh sebahagian Fuqaha‘.
5. Hikmah berpuasa pada hari 11 Muharram?
Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari ‘Asyura‘.
Termasuk bulan-bulan haram.
6. Apakah amalan terbaik selain berpuasa pada hari ‘Asyura‘?
Meluaskan rezki (berbelanja makanan, minuman, menggembirakan kanak-kanak dan kaum keluarga).
7. Apakah kelebihannya?
Dilapangkan oleh Allah rezekinya selama setahun.*
* Hadis diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Attabrani dengan pelbagai sanad. Imam Baihaqi menyebutkan, sanad-sanadnya dhoif, tetapi apabila dihimpunkan kesemuanya maka ia menjadi kuat.
8. Apakah yang dilakukan oleh para salafussoleh pada hari ‘Asyura‘?
Disebutkan di dalam nota kaki kitab Fathul ‘Allam oleh Syaikhuna Muhammad Alhajjar, menakalkan kitab Almadkhal oleh Ibnul Hajj, para salafussoleh tidak akan melalui musim-musim ini melainkan dengan banyaknya ibadah, sedekah, berbuat kebajikan dan meraih kelebihannya, bukanlah dengan makan dan minum, bahkan bersegera menambahkan sedekah dan berbuat baik.
9. Apakah contoh amal kebaikan yang digalakkan oleh para ulamak untuk dilakukan pada hari tersebut?
Apa jua amalan kebajikan baik dilakukan pada hari yang mulia tersebut. Antara yang diajarkan oleh para ulamak adalah bersiwak, bercelak, berwangi-wangi, mengusap kepala anak yatim, menziarahi orang soleh dan para ulamak.
10. Apa hukumnya merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana yang dilakukan oleh Syi’ah pada hari ‘Asyura‘ meratapi pemergian Sayidina Husin?
Hukumnya haram. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Sayyidina Ibn Mas`ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliyyah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah).”
Wallahu A’lam

Tuesday, December 14, 2010

Assalamualaikum...
Hari ni masuk kelas Media Dakwah bersama Ainuddin.... Dan beliau pun memberikan tugas untuk menyiapkan blog ini.. Jadi, lahirlah blog Informasi Dakwah... Selamat menonton...